Sunday, October 31, 2010

Sejuk


Abang Amir nampak letih, banyak berusaha =)
Moga Allah lipat gandakan pahala dan ganjarkan kejayaan yang terbaik buat suami saya.. insya Allah.

Naik tahun 5, saya nampak suami lebih banyak berusaha dari biasa. Tidaklah bermaksud sebelum ni beliau hanya sambil lewa, cuma kedatangan semester baru tahun baru ni banyak merubah beliau, tiada lagi masa senggang yang diguna untuk bersenang lenang.Bila mana menghadap skrin , ternyata hanya membaca slides dan benda ilmiah yang lain.Mungkin kerana minor rotations yang tak henti , exam selang 2 minggu. Malu pula, saya yang dah tahun akhir pun setiap malam nak habiskan satu atau dua lecture agak lambat. Alhamdulillah, mujur ada dia sebagai contoh yang baik , mudah-mudahan cukup untuk membuatkan saya malu untuk membuang masa.

Setiap hari pulang dari sekolah, makan pun dah berkurang. Tak selera nampaknya sekarang. Tapi tetap juga saya masak, sekurang-kurangnya dapat salurkan kasih sayang melalui masakan. Sehari sekali saja perlu masak, insya Allah bukan satu beban.

Minggu depan, exam lagi untuk suami. Insya Allah hujung November giliran saya pula ujian pertengahan semester. Moga Allah permudahkan langkah kami sebaik-baik kemudahan, dan mengganjari kami sebaik-baik kejayaan. Insya Allah..

Thursday, October 7, 2010

Beef Puff

Ini bukan iklan promo untuk jual karipap.

Memandangkan hari ni abang Amir berpuasa dan saya pulang awal dari sekolah, datang semangat nak buat karipap sbg kuih untuk suami berbuka puasa nanti. Kebetulan pula sebelum masuk dapur, suami mendapat msg jemputan untuk ke makan2 doa selamat di rumah jiran atas. Boleh lah buat lebih sebagai buah tangan.



Selepas zohor dah siap masak intinya. Usai solat asar mula lah misi menguli tepung. Anggaran setengah kilo tepung saja yang digunakan, dapatlah 30 biji.

Nak dijadikan cerita, ada masalah last minute yang membuatkan saya tak dapat pergi dan tak sempat nak goreng karipap, alamatnya saya kirimkan karipap yang saya dah saya sempat frozenkanlah tadi melalui suami.


Yang atas ni entry minggu lepas sebenarnya, tapi disebabkan blogger tak boleh upload gambar, jadi tertanggu sampai minggu ni. Alhamdulillah dah selesai minggu ke 4 sekolah, moga Allah lembarkan hari-hari yang baik untuk minggu yang seterusnya, insya Allah.

Wednesday, September 29, 2010

Bab Baru

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setelah lama tak menulis. Saya dan suami dah kembali dari bercuti di Malaysia. Rutin harian semester satu sudah pun bermula. Sudah hampir dua minggu pun. Homesick masih ada, namun syukur kerana masih boleh hadapi. Hidup berteman, tak ada istilah sunyi . Hamdanlillah..

Fatrah 2 minggu berjauhan dengan suami juga dapat saya lalui dengan baik. Mula-mula susah juga, lepas 2 3 hari alhamdulillah boleh juga saya bertahan. Terima kasih pada Mira kerana sudi menemani saya sepanjang kepulangan suami ke Malaysia. Perjalanan 2 minggu yang diuji dengan exam final memang agak lama saya rasakan, seperti berjalan kaki di tengah gurun yang tak ada penghujungnya. Tak mengapalah, semua ini saya anggap sebagai satu dugaan. Alhamdulillah, dah lepas pun. Dah selamat kembali bersama suami. Ini baru dua minggu berjauhan,moga Allah kuatkan hati-hati kami untuk berjauhan selama hampir 9bulan nanti. Saya yakin abang Amir adalah suami soleh yang kuat.Tak ditepis dugaan hidup berseorangan selama beberapa bulan berjauhan dengan saya nanti insya Allah.

Bercuti di Malaysia,banyak kenangan yang saya bawa balik. Kesal juga kerana tak ada kesempatan menyambut Aidilfitri bersama keluarga mertua, hanya sempat berpuasa 2 minggu. Insya Allah tahun depan bakal beraya di Jerteh pula.Setelah 4 tahun tidak beraya bersama keluarga, akhirnya tahun ini berpeluang juga beraya bersama suami di Perlis. Well-spent holiday, pendek kata. Semua tempat yang saya janjikan suami untuk dilawati akhirnya tercapai.Satu lagi impian,moga tahun depan dapat juga luangkan masa untuk 2nd honeymoon, insya Allah.

Ingat nak upload gambar tapi internet tersangatlah slow. Mungkin lepas ni insya Allah..

Thursday, August 12, 2010

Hati Dibawa Pulang

Belum mampu berdiri di atas kaki sendiri rupanya..

Moga Allah tabahkan hati-hati kami..

Tuesday, June 29, 2010

Kebetulan yang Tidak Disangka

Alhamdulillah...


Hari ni rasa lega sebab dah tukar tarikh tiket pulang ke Jordan raya Aidilfitri yang akan datang.Rezeki Allah nak beri, penalty yg dikenakan pun berpatutan. Alhamdulillah...Alhamdulillah.. Moga selamat semua hendaknya.
Belek-belek gambar lama dari laptop abang Amir, tgk gambar masa jelajah Jordan sewaktu tahun 1 dulu. Gambar ni suami ambil dari kawannya.

Gambar ni saya jumpa sewaktu bosan-bosan study pada final exam yang lepas. Sengaja selongkar gambar lama Amir.Saya gembira bila di zoom kan, nampak abang Amir yang mana satu. benda tu pun nak gembira kan. To add to my excitement, bila tgk balik rupanya ada juga saya dan Zehan ! heheh. Carilah yang mana satu kalau kenal.

Jodoh?

Waktu tahun 1 di sini, langsung saya tidak pernah kenal Amir sehinggalah tahun 2. Walaupun sekelas di INTEC, lagilah. Sekadar tahu nama sahaja.Di JUST pula, kelas langsunglah tak sama kerana kos kami yang berlainan.Orang kata, kalau nak seribu daya. Kalau tak nak ,buat tak tahu saja.Dah ada kemahuan, kenalah ada usaha.Tak gitu,abang Amir?hehe. Dah tertulis di Luh Mahfuz, jodoh kami berdua di umur muda.Alhamdulillah!

Jalan menuju perkahwinan bukannya mudah. Halangan yang di lalui banyaknya pada pihak Amir,saya akui. Beliau banyak berkorban untuk menguruskan banyak benda. Dari urusan JPA di Malaysia, seterusnya pihak MSD Jordan hinggalah urusan di kementerian luar dan dalam Jordan.Part yang akhir ni lah dugaan yang paling menduga kesabaran si bakal suami. Alhamdulillah, sekarang dah dua tahun. Masa,memang berlalu dengan cepat!

Keluarga bukan Beban

Ada yang pernah berkata kepada saya, kalau ada anak cepat, tak sempatlah nak memboros sakan untuk diri sendiri bila dapat gaji awal-awal kerja nanti.Kena berbelanja banyak untuk anak pula. Tersinggung juga saya mendengarnya. Anak adalah amanah,bukan beban! Jika saya bersedia untuk membina rumah tangga bersama suami di usia muda, sudah tentulah kami mempunyai perancangan dan persediaan menimang cahaya mata,dan kesediaan kami untuk membahagiakan zuriat yang lahir dari ikatan yang dibina.Rezeki Allah bukanlah sesuatu dalam jangkaan kita. Dahulukan yang wajib, insya Allah ganjarang dari-Nya tersedia.

Perkahwinan juga bukanlah satu bebanan. Saya dan suami sebaya, 22 tahun. Mendirikan rumahtangga seawal 20 tahun, di tahun 2 pengajian.Perkahwinan saya langsung TIDAK menggangu masa belajar atau cara hidup.Masih sama seperti bujang malah bagi saya lebih ahsan dari sebelumnya.Perkahwinan mematangkan akal dan pergaulan.Namun tak perlulah saya menjadi seorang yang berkelakuan umur 30-an hanya semata-mata kerana saya sudah berkahwin. Saya masih kekal seperti rakan-rakan sebaya, tetapi perlu berhati-hati dalam menjaga nama baik suami dan keluarga.

Saya bukanlah seorang yang mampu dijadikan contoh.Saya sangat hormat dan kagumi pasangan-pasangan muda yang sudah mempunyai anak dalam usia yang muda walaupun masih belajar.Dalam kesibukan belajar dan menjaga keperluan anak, masih lagi ada masa yang tersedia untuk aktiviti-aktiviti dakwah. Masya-Allah, kagumnya saya. Mereka inilah yang sangat cantik untuk dijadikan idola.

Asalnya nak cerita pasal gambar saja, tiba-tiba meleret ke tempat lain pula. Insya Allah ada masa nanti cerita kisah lain pula...

Tuesday, June 22, 2010

Anak-anak


Nu'man dan Qosim,

Kalian anak sulung keluarga,anak pertama kepada pasangan muda.Antuma lahir dalam keadaan ibu dan ayah masih mencari kestabilan hidup untuk kesenangan antuma dan adik-adik yang bakal lahir.Alhamdulillah, lahirnya kalian membawa rezeki yang mencurah-curah kurniaan dari Allah. Benar, anak itu rezeki.Rezeki kurniaan Allah yang tidak ternilai.Bukan satu atau dua dugaan yang dihadapi ibu ayah untuk menyediakan yang terbalik untuk kalian.Namun tawakkal pada Allah adalah sebaik-baik pegangan setiap masa dalam apa yang dilakukan.Pertolongan Allah ada dimana-mana, dari setiap penjuru, malah dari arah yang tidak kita sangkakan.

Ingat.. antuma bakal menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.

Moga kalian tergolong dalam golongan huffaz Al-Quran juga cendekiawan Islam.Moga dijauhi sifat mazmumah,memegang mahmudah dan sentiasa mendoakan ibubapa kalian serta saudara mara.

Cukup bersyukurkah kita?

"Aku cemburu tengok kawan-kawan di negara lain,banyak peluang belajar benda baru. Kenapa kita 'terperangkap' di Jordan yang tak ada apa ni?"
Begitulah antara kata-kata yang pernah dilontarkan kepada saya oleh seorang rakan yang sangat disayangi. Persoalan itu membuatkan saya terfikir, betul juga kata-katanya. Belajar di Jordan susah sangat nak temui peluang untuk belajar benda baru.Sebagai contoh, di sini tiada subjek elektif yang menarik seperti peluang belajar bahasa asing.Kos hidup yang mahal membuatkan biasiswa cukup-cukup makan antara sebab peluang yang sempit untuk berjalan-jali ke Europe dan sebagainya.Dari sudut universiti pula, JUST menyediakan cuti yang sangat sempit untuk pelajar-pelajarnya.Lihatlah saja, cuti raya akan datang dipotong seminggu,yang dari asalnya sebulan menjadi 3 minggu saja.Memang dugaan..

Astagfirullah, sikap greedy saya 'membutakan' mata hati saya untuk melihat nikmat-nikmat Allah yang lebih besar perlu saya syukuri.Saya asyik memikirkan benda atau perkara yang saya tak dapat.Saya lupa yang ramai lagi saudara se-muslim yang menanggung beban lebih berat.Saya lupa yang ada juga saudara sedarah yang wang belanjanya cukup-cukup untuk hidup, yang makannya bercatu, lama tidak berbaju baru. Namun tidak pulak mereka merungut atas kekurangan diri.Saya terlalu memikirkan diri tidak pernah berpeluang ke negara lain untuk makan angin,sampai saya terlupa yang Allah kurniakan rezeki saya untuk lanjutkan pelajaran ke luar negeri ,satu peluang yang ramai orang lain impikan.Malu pada diri sendiri..

Saya cukup makan, cukup wang saku.Malah lebih. Andai tak cukup itu bukanlah salah wang biasiswa tak cukup, tetapi salah sendiri yang 'menabur' duit di tempat yang tak sepatutnya.Di saat rakan-rakan rindukan keluarga yang jauh di Malaysia, Allah hadiahkan saya keluarga baru dengan kehadiran Amir,yang merupakan semangat saya.Allah permudahkan pelajaran adik2 kandung dan adik2 ipar saya.Allah murahkan rezeki keluarga.Allah kurniakan rakan-rakan yang sama-sama menyokong perjuangan kita sebagai pelajar muslim.

Banyak kali Allah ulang dalam surah Ar-Rahman, "nikmat-Ku mana lagi yang kamu dustakan."

Didiklah hati, tanamlah rasa 'mencukupi' di dalam diri.Kenapa ego untuk bersyukur. Astagfirullah... ya Allah, moga engkau ampunkah dosa hamba-hamba Mu ini..

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya,jika kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku amatlah berat (surat Ibrahim ayat 7)

Alhamdulillahi 3ala kulli hal, wa astaghfirullahi 3ala kulli zanmbih..