Tuesday, June 30, 2009

Madinah

Assalamualaikum...

Alhamdulillah..syukur kepada Allah kerana kita masih diberi nikmat sihat pada hari ini.. Saya dan suami masih dah mood bercuti..Seakan rasa cuti baru bermula semenjak tiba dari Makkah sabtu lepas.Mungkin kerana bumi Jordan kami tinggalkan '3ala toul' selepas habis paper exam terakhir haritu.Dan harini seperti biasa,kami menghabiskan baki sisa cuti yang ada sebelum sekolah dibuka minggu depan insya Allah.

Bercerita mengenai perjalanan saya dan suami bersama rombongan mengerjakan umrah,kami bertolak pada 18hb June selepas Asar.Yalah,ditambah beberapa perkara lain,hampir pukul 6.30 juga lah bertolak,dan alhamdulillah selamat sampai di Madinah sekitar pulak 4 petang hari seterusnya.Gembira,dan bersyukur memijak tanah suci.Terasa tenang.Bangun pagi,siang hari,malam hari,sebelum tidur,hanya fikirkan persiapan ke masjid dan beriktikaf di sana.Sungguh saya suka kehidupan seperti itu; tidak diganggu tanggungjawab lain yang menghimpit diri dalam kehidupan seharian sebelum ini.

Melihat ribuan manusia bergerak menuju ke masjid pada setiap waktu,tambahan lagi waktu Subuh,membuatkan saya kagum dan berfikir alangkah indahnya jika kehidupan kita semua konsisten seperti itu,biarpun setelah kembali ke tanah air masing2.Tak henti saya mengucapkan kesyukuran ketika kali pertama menjejakkan kaki di Masjid Nabawi ,juga Masjidil Haram.Juga kali pertama melihat Kaabah kiblat kita di depan mata.Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Madinah

Madinah bagi saya kota yang sangat tenang.Sungguh.Ternyata sekali kerana di situnya dimaqamkan jasad Rasullullah s.a.w.Rombongan kami berada di sana selama 4 hari 3 malam.Jarak hotel dengan Masjid Nabawi tidaklah jauh,sekitar 10 minit berjalan.Saya dan suami hanya pulang ke hotel selepas waktu subuh dan asar untuk membersihkan diri dan berehat sebentar.Dan selepas isyak pula kami berjalan-jalan sekitar kedai dan tempat2 di Madinah,sekadar yang mampu.



Pintu masuk lelaki dan wanita diasingkan di Masjid Nabawi.Pertama kali ke sana, saya sedikit gentar,takut tidak jumpa abang Man dicari.Jadi kami berjanji untuk tunggu di satu tempat selepas solat Isyak.Nyata,risau saya benar berlaku.Hampir 15 minit menunggu abang Man di salah satu pintu,belum nampak kelibatnya.Yalah,hari pertama sampai di sini,belum yakin sama ada ingat atau tidak jalan pulang ke hotel.Mulalah saya teringat cerita-cerita yang saya baca sebelum ni,cerita bagaimana sang isteri diuji Allah kerana terlalu bergantung harap kepada suami dalam setiap benda.Hal ini terus mengingatkan saya untuk check samada benar-benar ikhlas tawakkal saya pada Allah.Tak henti saya memohon agar Allah jauhkan saya dari dugaan yang tak dapat saya hadapi.Alhamdulillah,akhirnya saya nampak suami dari jauh.Rupa-rupanya suami saya silap cari pintu di mana diletakkan kasutnya.Tergelak saya.Suami saya,abang Man memang saya kenal benar,agak keliru dengan tempat yang kurang biasa.Apapun saya bersyukur kepada Allah.Sebenarnya tidaklah lama masa saya menunggu beliau, tetapi mungkin kerana risau, menjadikan penungguan saya lebih 'panjang',mungkin.

Seronok berada di Madinah.Walaupun agak panas,tapi itu bukan halangan untuk saya dan suami bersiar-siar di sekitar sana.Sewaktu di Madinah juga,suami membawa saya mengunjungi kedai buku di mana sewaktu menunaikan umrah ketika 1st year, beliau telah membeli 2 buah buku yang niat untuk dihadiahkan kepada bakal isterinya.Tentunya,buku2 itu menjadi milik saya sekarang =) Teruja saya melihat buku-buku yang sama masih ada di kedai berkenaan.Banyak juga buku dibeli suami di situ, seronok sangat sebab ada juga Bahasa Melayu baku dan juga bahasa Indonesia.Rasanya semua dah tahu,hanya saya yang terlebih seronok agaknya.

Bab makan pula tidak menjadi masalah.Hotel di Madinah betul2 bertentangan dengan sebuah kedai makan kepunyaan orang Indonesia.Jadi bagi kami pelajar yang jauh dari Malaysia tentunya sangat teruja dapat menjamah masakan Melayu.Masakan lain juga boleh tahan,kari ayam dan daging yang sangat pedas,murtabak,roti seperti roti canai semuanya ada.Dapatlah melepaskan rasa teringin dan teringat kepada makanan Malaysia.

Di Madinah juga saya, suami dan rombongan melawat Jabal Uhud, di mana berlakunya Perang Uhud yang mempunyai peristiwanya yang tersendiri.Juga awal ketibaan di Madinah,kami singgah menunaikan solat Zohor dan Asar jama3 di Masjid Qiblatain.Juga kami melawat Masjid Quba',masjid pertama yang dibina di dalam Islam.Alhamdulillah,saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di tempat2 yang selama ini hanya saya dengar dan tahu melalui pembacaan.

Akan saya sambung cerita di Makkah pula selepas ini Insya Allah..

0 comments: